TAPAH: UMNO Tapah menafikan pihaknya memasang kain rentang bertulis ‘Bebas Najib’ dan ‘Hormat Titah Adendum!’ yang dikesan di beberapa tempat di Ayer Kuning di sini hari ini.
Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Tapah, Syed Afzarizal Syed Salim berkata, walaupun kain rentang itu mempunyai lambang UMNO namun bukan parti itu yang memasang kain rentang berkenaan.
“Apabila diperiksa dan disemak dengan UMNO Bahagian dan negeri, memang tidak dikeluarkan kain rentang berkaitan Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak).
“Maknanya, ada pihak tidak bertanggungjawab yang telah menaikkan kain rentang itu bertujuan menimbulkan sentimen agar rakyat marah kepada kerajaan dan menjadikan ia satu isu menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Berikutan itu, beliau membuat laporan polis berhubung pemasangan kain rentang itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah petang tadi.
Beliau berkata, tindakan memasang kain rentang mengenai Najib itu merupakan propaganda pihak tidak bertanggungjawab menjelang PRK Ayer Kuning dan menyebar fitnah serta berniat jahat terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN).
“Kain rentang itu berunsur fitnah untuk membuatkan pengundi (PRK Ayer Kuning) berasa marah dengan anggapan UMNO dan BN tidak bersama dalam pembebasan Najib Tun Razak,” katanya.
sumber: UTUSAN