SIAPA yang tidak kenal dengan sosok lelaki bernama Azwan Omar, atau lebih mesra disapa Abang Viva?
Namun, kali ini nama Abang Viva kembali menjadi bualan ramai bukan kerana misi sukarelanya seperti dahulu, tetapi kisah peribadi yang cukup menyentuh hati.
Dalam perkongsian di TikTok, Abang Viva memuat naik video dengan luahan perasaannya.
“Pesan pada hati, ikhlaskan yang sudah pergi. Memang sakit untuk dinikmati, tapi sesakit mana pun, itulah realiti. Hidup perlu diteruskan. Perlahan-lahan kawan, kita berjuang untuk perasaan ini," luahnya.
Lebih mengejutkan, Abang Viva akhirnya mengesahkan bahawa rumah tangga yang dibina bersama isteri, Eva Noza Zakaria, sudah berakhir.
Menerusi mesej yang dikongsikan, Azwan akur bahawa perkahwinan mereka tidak lagi dapat diselamatkan dan perpisahan menjadi jalan terakhir yang terpaksa ditempuh.
“Dah cerai dah pun, tak boleh tahan lagi, maruah kita je yang kena pijak,” jelasnya dalam perbulan tangkap layar bersama pengikut.
Abang Viva yang pernah menerima kurniaan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) itu bagaimanapun enggan berkongsi lebih lanjut mengenai pergolakan rumah tangganya.
Namun, menerusi luahan yang dimuat naik di media sosial, Azwan seakan memberi bayangan bahawa punca perpisahan mereka berkait dengan isu kewangan, apabila dia tidak mampu memenuhi permintaan nafkah yang melebihi kemampuannya.
"Ketika suami tidak mampu memenuhi segala keinginan isteri, kebanyakan isteri meninggalkannya.
"Maka terima saja suami ada rezeki banyak dan terima saat suami mempunyai rezeki sedikit," tulisnya.
Perkongsian itu mendapat perhatian netizen yang rata-rata meluahkan rasa simpati dan memberikan kata-kata semangat buat lelaki itu supaya terus kuat menghadapi ujian ini.
Sebelum ini, SinarPlus pernah melaporkan kemelut yang melanda keluarga kandung Abang Viva selepas beberapa bulan beliau mendirikan mahligai bersama Eva Noza pada Oktober 2022.
Segalanya tercetus apabila kakak Azwan, Fauziyah Omar, mendedahkan bahawa ahli keluarga langsung tidak dimaklumkan tentang majlis perkahwinan tersebut dan meminta orang ramai untuk tidak bertanyakan soal Abang Viva.
Terdahulu, Azwan selamat diijab kabul bersama Eva Noza pada 14 Oktober 2022.
Sumber: Sinar