PUTRAJAYA - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan direkod keterangan kali kedua berhubung kes rasuah dan pengubahan wang haram pada Rabu ini.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan pada awal tahun lepas berhubung isu Keluarga Malaysia membabitkan dana pengiklanan dan promosi agenda kerajaan bernilai RM700 juta.
Katanya, aduan dibuka mengikut Akta SPRM 2009 dan akta-akta lain.
"Kita rakam ramai keterangan saksi dalam kes ini iaitu 31 individu direkod percakapan dan siasatan diteruskan.
"SPRM telah mengeluarkan notis pengisytiharan harta kepada beliau (Ismail Sabri) pada November 2024 dengan seorang lagi individu lain.
"Pada 10 Februari lepas, beliau telah hantar kepada kami mengenai pengisytiharan harta terbabit sebelum kita merekod keterangannya pada 19 Februari dalam empat ke lima jam," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM di sini pada Isnin.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
Mengulas mengenai Ismail Sabri merupakan suspek atau saksi, Azam menjelaskan, Ahli Parlimen Bera itu adalah salah seorang suspek.
"Ini kerana Seksyen 36(1) Akta SPRM 2009 berkaitan pemilikan harta dan bila terjumpa wang (barang rampasan), beliau antara yang dikaitkan untuk kita mendapatkan pengesahan.
"Siasatan kes ini dijalankan dengan teliti dan kita masih kumpulkan maklumat dan kita telah membuat tangkapan empat individu yang disyaki berperanan sebagai pembantu kepada Ismail Sabri," ujarnya.
Tambah Azam, serbuan telah menyita wang tunai RM170 juta membabitkan pelbagai mata wang termasuk Ringgit Malaysia selain jongkong emas RM7 juta dengan keseluruhannya bernilai RM177 juta.
"Rampasan juga termasuk barang kemas dan masih belum dapat dinilaikan.
"Kita boleh lihat nilai semasa harga jongkong emas bagi setiap kilogram dianggar bernilai RM450,000," ujarnya.
Jelasnya, SPRM juga telah membekukan 13 akaun bernilai RM2 juta. Namun, akaun Yayasan Keluarga Malaysia tidak dibekukan," katanya.
Jelas Azam, SRPM akan selesaikan kes ini secepat mungkin dengan memanggil ramai lagi saksi dan tujuh hingga lapan individu dijangka dipanggil dalam masa terdekat.
Dalam pada itu, beliau menafikan bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Ismail Sabri, Datuk Nazimah Hashim, yang juga orang berkepentingan dalam kes tersebut, berada di luar negara.
Azam berkata, Nazimah berada dalam negara dan percakapannya telah dirakam.
Sebelum ini, media melaporkan SPRM telah menyita wang tunai berjumlah kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa (Baht, Riyal, Pound Sterling (BP), Won, Euro, Swiss Franc, dan Yuan) serta 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai hampir RM7 juta.
video: