KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini mengeluarkan perintah larangan terhadap putera Arab, Putera Faisal bin Turki Al Saud dan bekas penasihat media kepada Datuk Seri Najib Razak, Paul Geoffrey Stadlen berurusan dengan aset dan saham mereka yang dikaitkan dengan syarikat, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Hakim, K Muniandy, mengeluarkan perintah larangan terbabit dalam prosiding hari ini selepas membenarkan permohonan Kerajaan Malaysia supaya kedua-dua individu terbabit dihalang daripada mengakses akaun bank dan saham masing-masing di luar negara.
Perintah larangan berkenaan membabitkan wang melebihi AS$4.5 juta yang didakwa dalam akaun bank Putera Faisal di Riyadh, Arab Saudi, dan 12 juta saham milik Stadlen yang kini dipegang syarikat pengurusan aset di United Kingdom (UK).
Kerajaan memfailkan permohonan itu semalam mengikut Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLTFPUAA 2001).
Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat memberitahu mahkamah, wang dalam akaun di Riyadh berasal daripada dana yang diseleweng daripada 1MDB dan saham Stadlen dibeli dengan menggunakan lebih AS$100 juta yang diselewengkan.
"Ia diselewengkan daripada tiga projek infrastruktur utama, iaitu Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Saluran Paip Gas Trans-Sabah dan Saluran Paip Pelbagai Produk," katanya.
Mahadi ketika ditemui selepas prosiding memberitahu pemberita, Peguam Negara (AG) akan memohon Bantuan Undang-Undang Bersama (MLA) bagi penyampaian perintah sekatan terbabit kepada rakan sejawatannya di Arab Saudi dan UK.
Bagaimanapun, beliau berkata, pelaksanaan perintah itu bergantung kepada negara sasaran, iaitu sama ada mereka mahu mematuhi perintah larangan oleh Malaysia.
Putera Turki dikatakan sebagai individu yang mendepositkan jutaan ringgit ke dalam akaun peribadi Najib yang dikenali sebagai derma Arab, melalui keterangan pada perbicaraan kes penyelewengan dana 1MDB.
Pada 20 Februari 2019, Stadlen, didakwa secara 'in absentia' (tanpa kehadiran) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini atas tuduhan mengubah wang haram berjumlah RM15 juta.
Bagaimanapun pada Julai 2021, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dalam satu kenyataan berkata Stadlen bersetuju untuk melepaskan RM7,192,873.84 secara sukarela kepada 1MDB, berdasarkan persetujuan Jabatan Peguam Negara (AGC).
Pada 12 Disember 2024, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan kerajaan untuk menyekat PetroSaudi International Ltd (PSI) dan Ketua Eksekutifnya, Tareq Obaid daripada menggunakan dana AS$340 juta (RM1.61 bilion) yang dikaitkan dengan 1MDB.
Tareq bersama-sama seorang pengarahnya, Patrick Mahony masing-masing dihukum penjara tujuh dan enam tahun atas kesalahan penyelewengan di Switzerland berkaitan dengan dana 1MDB.
Mahkamah Jenayah Persekutuan Switzerland di Bellinzona, memutuskan bahawa mereka terbabit dalam penipuan terhadap dana terbabit.
PetroSaudi ialah syarikat penerokaan dan pengeluaran minyak Arab Saudi berpangkalan di Geneva. Tareq mempunyai dwi kerakyatan Switzerland-Arab Saudi manakala Mahony memiliki dwi kerakyatan Switzerland-British.
Dana 1MDB pada asalnya bertujuan untuk mempromosikan pembangunan ekonomi Malaysia, tetapi kira-kira 10 tahun lalu, penipuan bernilai berbilion dolar dalam dana kekayaan negara itu telah didedahkan.
Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat menganggarkan bahawa sebanyak US$4.5 bilion telah dicuri daripada dana itu.