KUALA LUMPUR: Seorang pegawai tribunal rayuan kastam Kementerian Kewangan ditemui maut dalam Pejabat Perbendaharaan, kementerian itu di Putrajaya, hari ini.
Berdasarkan maklumat awal, mayat lelaki berusia 45 tahun itu yang bertugas di Jabatan Peguam Negara (AGC) sebelum ditempatkan sebagai pegawai tribunal kastam dijumpai dalam keadaan terbaring di atas lantai dengan leher dan kaki terjerut 'cable tie'.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, ketika dihubungi BH mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan bahawa pihaknya menerima panggilan telefon berhubung perkara berkenaan pada jam 10.56 pagi tadi.
"Setakat ini, kematian pegawai itu diklasifikasikan sebagai kes kematian mengejut (SDR). Ini kerana tiada sebarang unsur jenayah ditemui di tempat kejadian.
"Berdasarkan hasil siasatan awal polis, setakat ini, si mati dipercayai menjerut leher dan kakinya sendiri.
"Bagaimanapun, semuanya bergantung pada proses bedah siasat yang akan dijalankan, esok," katanya.
Beliau berkata, pihaknya turut memperoleh rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian tetapi paparan itu menunjukkan pergerakan si mati ke pejabatnya dan bukan perbuatan ketika insiden kematian.
Katanya, mayat telah dihantar ke Jabatan Forensik dan Patalogi, Hospital Putrajaya, untuk tindakan lanjut.
Rusdi berkata, butiran lanjut mengenai kejadian itu akan diberikan dalam masa terdekat, sekali gus meminta orang ramai jangan membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
Selain itu, beliau berkata, saksi kejadian atau orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes berkenaan diminta menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur melalui talian 03-2115 9999 atau Hotline Polis Putrajaya (03-8886 2222).
Sementara itu, berdasarkan maklumat sumber, pegawai lelaki berkenaan direkodkan memasuki pejabatnya pada jam 9 malam Isnin lalu berdasarkan akses masuk yang dikesan di lokasi, namun tiada sebarang rekod keluar dicatatkan.