KUALA LUMPUR – Seorang peguam, Dr. Shamsher Singh Thind secara sinis mencadangkan supaya ibu pejabat MIC di Jalan Rahmat di sini dijadikan tapak Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman, sekali gus mengakhiri kontroversi berhubung isu terbabit.
Apatah lagi, tambah beliau, MIC ketika ini juga disifatkan tidak lagi relevan dalam dunia politik tempatan, justeru tapak tanah luas yang menempatkan ibu pejabat parti politik berkenaan lebih sesuai dijadikan lokasi baharu kuil tersebut.
Menurut Shamsher Singh, MIC sepatutnya sudah lama membantu pengurusan kuil yang berusia 130 tahun itu mendapatkan tanah kekal iaitu ketika tapak tanah tersebut masih menjadi milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Dan sudah 10 tahun Jakel, selepas membeli tanah tersebut daripada DBKL, sedang berunding dengan pihak kuil tersebut untuk memindahnya ke tempat lain.
“Kenapa tak selesai juga? Sekarang baru (MIC) nak kalut?” katanya dalam catatan di laman sosial Facebook beliau semalam.
Semalam, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan berkata, perdebatan berhubung isu kuil itu berpunca daripada umat Islam tidak mendapat maklumat tepat berkenaan kewujudan kuil tersebut.
Ujar Saravanan, rumah ibadat untuk penganut Hindu itu telah dibangunkan sejak 100 tahun lalu bukannya wujud secara haram seperti didakwa.
Bagaimanapun, kenyataan Saravanan itu bercanggah dengan kenyataan Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran yang dilaporkan berkata, kuil itu dipindahkan dari lokasi lain pada 2008 ke lokasi sekarang atas permintaan kerajaan sebelum ini.
Sementara itu, Shamsher Singh turut mempersoalkan percanggahan kenyataan Saravanan dan Prabakaran tersebut yang disifatkan menyebabkan kontroversi isu kuil berkenaan menjadi semakin teruk.
“Lagi dia (Saravanan) explain, lagi teruk jadinya. Fakta pun dah tak betul. Macam mana nak convince orang lain?” soalnya.
Media sebelum ini melaporkan, kuil Hindu itu berdepan ancaman dirobohkan selepas kerajaan DBKL meluluskan pembinaan sebuah masjid di tapak berkenaan.
Tanah yang diduduki kuil itu dijual DBKL kepada Kumpulan Jakel yang turut memiliki sebuah pusat beli-belah di kawasan yang sama.
DBKL dalam satu kenyatan 20 Mac lalu memaklumkan telah mengenal pasti lokasi baharu untuk pemindahan sebuah rumah ibadat di Jalan Masjid India di sini. – MalaysiaGazette