PUTRAJAYA: Keputusan permohonan Peguam Negara untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan Datuk Seri Najib Razak memulakan prosiding semakan kehakiman berkaitan Titah Adendum, akan diumumkan pada 28 April ini.
Pada tarikh itu, Peguam Negara Mohd Dusuki Mokhtar akan mengetahui sama ada Mahkamah Persekutuan membenarkan atau sebaliknya, pihak pendakwaan memfailkan rayuan menghentikan semakan kehakiman Najib.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Malaya, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim, membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan lisan daripada Mohd Dusuki dan peguam utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah.
Sekiranya Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan untuk rayuan tersebut, satu tarikh lain akan ditetapkan bagi mendengar hujahan merit pihak-pihak berkaitan rayuan Peguam Negara untuk menghentikan semakan kehakiman Najib itu.
Pada 6 Januari lalu, Mahkamah Rayuan memberikan kebenaran kepada Najib memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum pada Januari tahun lalu.
Titah Adendum berkenaan dibuktikan telah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Mahkamah sehubungan itu memerintahkan supaya kes semakan kehakiman berkenaan diremitkan (dikembalikan) kepada Mahkamah Tinggi supaya merit semakan didengar dan diputuskan.
Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden dalam permohonan kebenaran semakan kehakimannya.