Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

'Zaman saya sekolah kuil itu dah ada, DBKL luluskan ubahsuai'


Bekas Presiden Hindu Sangam Malaysia A Vaithilingam menjelaskan bahawa Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman yang terletak berhampiran Jalan Masjid India di Kuala Lumpur sebenarnya tidak "dipindahkan" pada 2008.

Sebaliknya, kata Vaithilingam, selepas perbincangan dijalankan ketika itu, jawatankuasa kuil terbabit bersetuju untuk menyerahkan "kira-kira dua atau tiga kaki ruang kuil" untuk menampung projek pelebaran jalan.

"Ia sentiasa ada di sana.

"Saya telah melihat kuil ini di tempat yang sama sejak zaman persekolahan saya pada 1947 sehhingga sekarang, itulah kebenaran yang ada," katanya dalam satu kenyataan.


Vaithilingam – yang merupakan sebahagian daripada ahli jawatankuasa yang dilantik oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur ketika itu – berkata beberapa mesyuarat telah diadakan untuk menangani isu-isu berkaitan kuil di kawasan berkenaan.

“Kami berbincang tentang kuil ini dan diberitahu pemaju bersebalahan mengadu, meminta kuil memberi laluan untuk melebarkan jalan.

"Kemudian kami ke sana bersama pegawai DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) dan berbincang dengan ketua kuil. Pemaju tak ada di sana.

“Selepas beberapa kali lawatan lagi pihak kuil bersetuju memberi laluan kepada kira-kira dua atau tiga kaki ruang kuil di sepanjang tepi jalan.

"Sebelum itu, tawaran tapak di sepanjang tebing sungai di kawasan sekitar ditolak kerana ia merupakan kawasan biasa banjir.

“Pengorbanan yang dilakukan kuil terbabit untuk beberapa kerja pembinaan jalan menyelesaikan masalah tersebut," tambahnya.

Vaithilingam juga mendedahkan bahawa DBKL meluluskan rancangan untuk mengubah suai kuil.

"Selepas itu, satu kumbabhishegam (majlis penyucian) telah diadakan, dan saya hadir pada majlis itu. (Bekas Presiden MIC) S Samy Vellu turut hadir," tambahnya.

Laporan sebelum ini mencadangkan bahawa kuil berusia 130 tahun itu dipindahkan ke tapak sekarang dan pemilik tanah terbabit, Jakel Trading Sdn Bhd (Jakel Trading), merancang untuk membina sebuah masjid.

Isu itu menjadi kontroversi selepas didedahkan bahawa kuil itu akan dipindahkan.

Sebelum ini, Lawyers for Liberty mendakwa DBKL telah menjual tanah tersebut kepada Jakel Trading pada 2014 tanpa pengetahuan jawatankuasa kuil.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dijadual merasmikan majlis pecah tanah masjid itu pada 27 Mac ini.