MELAKA - Seorang ejen perumahan ditemui mati dalam sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang diletakkan di hadapan sebuah hotel di Ayer Keroh, di sini, pada malam Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, mangsa, Toh Wen Hui, 34, ditemui tidak sedarkan diri dalam SUV jenis Proton X50 oleh sepupunya di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya menerima maklumat daripada seorang wanita yang juga sepupu mangsa, selepas mereka mengesan lokasi kenderaan mangsa menggunakan aplikasi penjejak, Apex.
"Sepupu mangsa cuba mengetuk cermin SUV berkenan yang enjinnya masih hidup, namun lelaki itu masih tidak sedarkan diri sebelum menghubungi panggilan kecemasan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Christopher berkata, mangsa yang masih bujang ada memaklumkan kepada ibunya melalui aplikasi WhatsApp bahawa dia menghadapi tekanan berkaitan hutang dengan pelanggan.
"Si mati dipercayai mengalami tekanan untuk membayar balik kira-kira RM500,000 wang milik pelanggannya bagi urusan membeli rumah.
"Hasil siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah dikesan pada tubuh mangsa dan tiada nota ditinggalkan di dalam kenderaan," katanya.
Tambah beliau, kali terakhir mangsa berhubung dengan ibunya ialah pada jam 11 malam, Selasa lalu, dan memaklumkan berada di sebuah hotel di Seremban.
“Pihak Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka telah menjalankan pemeriksaan di lokasi dan mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.
-Sinar Harian