SEREMBAN - Anggota tentera yang videonya tular menumbuk seorang wanita di Senawang bulan lalu didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Isnin.
Tertuduh, Abdul Hafiz Abu Bakar, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret, Syed Farid Syed Ali selepas kertas pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan sengaja menumbuk dengan menggunakan tangan di bahagian kepala seorang wanita berusia 28 tahun.
Kesalahan itu dilakukan pada 29 Mac 2025, kira-kira jam 10.20 malam di Taman Satria, Senawang di sini.
Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Ezzati Mohd Zainal mencadangkan jaminan sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Chrysandy Lai memohon jaminan rendah berikutan tertuduh menanggung dua anak yang masih kecil dan ibu bapa serta isteri.
Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin serta sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan laporan perubatan penuh ditetapkan pada 19 Mei depan.
Media sebelum ini melaporkan tular satu klip memaparkan seorang pemandu kereta Perodua Axia wanita ditumbuk seorang lelaki dekat Taipan Senawang.
Kejadian dipercayai berpunca selepas lelaki berkenaan berang kerana mendakwa anaknya dilanggar pemandu kereta jenis Perodua Axia terbabit ketika melintas jalan.
Sinar Harian