Kebun Haram: Ketua Pemuda UMNO Pahang buat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Raub
Labels:
Isu Semasa
![]() |
Ketua Pemuda Pahang, Kamil Ibrahim |
KUANTAN – Satu laporan polis telah dibuat terhadap Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui, berhubung tindakannya yang didakwa menghalang penjawat awam atau pihak penguat kuasa daripada menjalankan tindakan terhadap kebun durian haram di Sungai Ruan pada Sabtu.
Ketua Pemuda UMNO Pahang, Kamil Ibrahim berkata, laporan tersebut dibuat bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan terhadap campur tangan Penasihat Save Musang King Alliance (Samka) itu yang dikatakan mencabar kewibawaan undang-undang.
“Saya hendak tegaskan di sini kepada YB (Yang Berhormat), kamu sebagai pembuat dasar, ahli Parlimen sepatutnya tahu bahawa kesalahan ini tidak boleh kita betulkan.
"Kalau sudah salah, maksud saya, janganlah kita mengajar atau mendidik penduduk di Raub membuat tindakan yang salah,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook miliknya pada Sabtu.
Terdahulu, satu laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan terhadap pemimpin DAP terbabit.
Kamil menambah, laporan polis yang dibuat itu diharap dapat membuka ruang kepada siasatan lanjut pihak berkuasa dan seterusnya tindakan lebih tegas terhadap semua pekebun yang terlibat dalam isu tanah kebun haram ini.
“Jadi saya harap dengan laporan ini, pihak polis akan menjalankan siasatan lebih lanjut dan seterusnya kita berharap tindakan lebih berat dikenakan terhadap semua pekebun terlibat dalam kes tanah kebun haram ini,” katanya lagi.
Pada Jumaat, tular rakaman video dalam Facebook “Penduduk Raub Bentong” yang mendakwa anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Unit Penguat Kuasa Negeri Pahang (UPNP) disekat oleh penduduk Sungai Klau.
Lihat video: Kamil Ibrahim