LIPIS: Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) membongkar kegiatan melombong emas secara haram di Kampung Temin, di sini, kelmarin.
Susulan operasi dijalankan Skuad Elit UPNP kira-kira jam 2 petang itu, seorang lelaki warga Indonesia ditahan, manakala empat yang lain berjaya meloloskan diri dengan lari ke dalam hutan berhampiran.
Ketika serbuan, lima lelaki terbabit sedang melakukan aktiviti melombong di kawasan terbabit, dengan menggunakan peralatan seperti jengkaut, palong dan pam air.
Ketua UPNP, Saifullah Muhammad Ali, mengesahkan ketika serbuan lelaki warga asing yang ditahan itu dikesan sedang mencuci palong yang digunakan untuk menapis mineral disyaki emas.
“Empat rakannya yang turut dikesan di lokasi berjaya melarikan diri, sebelum pihak penguat kuasa menyita peralatan digunakan untuk melombong emas secara haram itu.
“Semakan dengan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang mendapati kegiatan melombong itu tidak mendapat kebenaran atau permit pihak berkuasa negeri,” katanya.
Saifullah berkata, lelaki ditahan itu kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 158 Enakmen Mineral 2001 Negeri Pahang kerana melombong tanpa kebenaran sah.