
TAPAH: Tan Sri Abdul Hadi Awang memberi 'signal' supaya masyarakat Islam di negara ini mengutamakan kemenangan politik, selain perlu menangguhkan hasrat menunaikan umrah dan haji.
Presiden PAS itu mendakwa, ketetapan berkenaan dibuat dengan mengambil ibrah peristiwa Rasulullah SAW dihalang melaksanakan umrah hingga termeterainya perjanjian Hudaibiyah.
Abdul Hadi mendakwa, kemenangan politik tidak boleh ditangguhkan dan Islam perlu berkuasa, seiring firman Allah yang mahu dunia diperintah menerusi ajaran Islam.
Beliau mengakui umat Islam ketika ini tidak mengamalkan pendekatan berkenaan, sebaliknya lebih memilih menunaikan umrah dan haji berbanding mendapatkan kemenangan politik.
"Inilah orang AMANAH tak baca, golongan yang melompat (daripada PAS), (ahli) UMNO tidak baca (sirah Rasulullah). Mudah saja ikut DAP kerana kejahilan.
"Kita mesti faham, kemenangan politik kepada Islam sangat penting. Islam mesti berkuasa dan memerintah sekali gus memimpin.
"Di Malaysia, orang Melayu adalah majoritinya Islam. Mereka berhak memimpin, bukan bermakna kita menafikan hak bukan Islam
"Bukan Islam dibenarkan berada dalam negara Islam dan menyertai kerajaan tetapi kuasa politik yang tinggi mesti (diterajui) orang Islam," katanya ketika berucap pada ceramah Perikatan Nasional (PN) di sini, malam tadi.
Untuk rekod, Kerajaan Malaysia adalah kerajaan Islam yang berpelembagaan dan menunaikan Haji adalah rukun Islam yang kelima terpenting, manakala memenangkan mana-mana parti politik tiada dalam rukun Islam.
Turut hadir, Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad; Naib Presiden BERSATU, Datuk Ahmad Faizal Azumu; Penolong Setiausaha Agung II PAS, Mohd Syahir Che Sulaiman dan Yang Dipertua PAS negeri, Razman Zakaria.