SUBANG JAYA: Pihak polis menerima satu laporan polis yang mendakwa ada individu bermain mercun berhampiran kawasan insiden letupan paip gas di Putra Heights.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata berdasarkan laporan itu, pengadu mendakwa ada pihak yang bermain mercun di kawasan terbabit pada malam sebelum kejadian letupan paip gas.
"Pihak polis tak nampaklah kejadian pada waktu itu boleh membabitkan letupan pada pagi itu. Bagaimanapun, kita masih lagi menunggu siasatan penuh.
"Saya cuma maklum laporan yang polis terima (setakat ini). Jadi kita mengalu-alukan maklumat daripada orang awam. Yang ini maklumat yang mereka nampak (pengadu)," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PTPK) letupan paip gas di Putra Heights, di sini hari ini.
Sehingga tengah hari tadi, Hussein memaklumkan polis menerima sebanyak 642 laporan berhubung insiden letupan berkenaan.
Selain itu, katanya lebih 100 percakapan dirakam oleh polis membabitkan pelbagai pihak.
Katanya, mereka yang dipanggil itu termasuk 15 daripada pihak kontraktor, sub kontraktor dan pekerja.
"Sebanyak 118 percakapan saksi telah dirakam membabitkan pelbagai pihak, termasuk satu laporan polis yang menyatakan ada orang bermain mercun pada malam 31 Mac lalu," katanya.