Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

MB Terengganu dakwa pergerakan dan telefon dipantau


KUALA TERENGGANU - Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mendakwa beliau dilabel sebagai individu di bawah kawalan Pejabat Kawalan Perjalanan (TCO) sejak tahun lalu, menyebabkan pergerakannya dipantau rapi oleh pihak tertentu.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan beliau perlu melalui kawalan ketat setiap kali berada di sempadan termasuk ketika ke Sabah dan Sarawak, malah memerlukan kelulusan khas sebelum dibenarkan meneruskan perjalanan.


"Saya telah dilabel dan ditandai sebagai TCO dalam sistem kawalan sempadan oleh satu pihak cawangan khusus. Seolah-olah saya ini penjenayah berbahaya, dikaitkan dengan sindiket, gangster atau ‘persona non grata’ di tanah air sendiri.

"Setiap kali keluar masuk sempadan, saya akan ‘ditahan’ dan dibawa ke tepi. Satu panggilan perlu dibuat dan menunggu kelulusan sebelum dibenarkan meneruskan perjalanan," katanya menerusi kenyataan di laman sosialnya pada Khamis.

Ahmad Samsuri mendakwa, TCO merupakan satu penandaan dalam sistem keselamatan negara terhadap individu yang dianggap berisiko, meskipun tiada sebarang kesalahan sah dibuktikan.

Beliau turut percaya pemantauan itu digunakan atas nama ‘keselamatan negara’ atau ‘kestabilan politik’, namun hakikatnya dijadikan alat politik untuk menekan suara tertentu.

"Ke mana saya pergi, siapa saya temui dan apa yang saya perbualkan, semuanya dipantau dan dilaporkan kepada pihak tertentu. Telefon saya juga mungkin dipintas," dakwanya.

Selain itu, beliau turut mendedahkan bahawa seorang lagi tokoh pembangkang turut menerima layanan sama.

Katanya, isu itu akan dibangkitkan di Dewan Rakyat agar satu Jawatankuasa Terpilih Risikan ditubuhkan bagi mengelak penyalahgunaan kuasa.

"Negara yang benar maju demokrasi dan institusinya, mempunyai ruang kawalan di bawah Parlimen seperti 'Jawatankuasa Terpilih Risikan' sebagai kuasa pengawal (oversight) untuk menghalang salah guna kuasa jentera dan aset kerajaan terutama oleh pihak berkepentingan politik dan kewangan.

"Dalam hal ini, sudah ada rakan ahli Parlimen yang ingin membangkitkan salah guna kuasa TCO dalam sidang Dewan Rakyat akan datang," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri turut menyuarakan kebimbangan sekiranya amalan itu berleluasa dan digunakan terhadap orang awam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), badan bebas serta mana-mana pihak yang mempunyai pandangan berbeza dengan kerajaan.

"Sudah tiba masa untuk negara membina budaya politik yang lebih matang dan terbuka, di mana perbezaan pandangan diraikan sebagai asas demokrasi sihat," ujar beliau. -Sinar