SUBANG JAYA, 1 Apr – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di lokasi insiden kebakaran saluran paip gas PETRONAS di Putra Heights di sini.
Perdana Menteri tiba pada jam 4.57 petang bagi meninjau dan mendengar taklimat daripada pasukan keselamatan berhubung kejadian itu.
Ketibaan Perdana Menteri diiringi Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Selepas taklimat, Perdana Menteri dijangka melawat mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights.
Terdahulu, media melaporkan kebakaran saluran paip gas dilaporkan mulai reda dan terkawal berikutan tekanan gas yang semakin berkurangan.
Perkara itu disahkan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad.
Dalam perkembangan lain, kerajaan dan Petronas sedang mempertimbangkan bantuan segera sebanyak RM5,000 kepada pemilik kediaman yang mengalami kerosakan teruk akibat kebakaran saluran paip gas di Putra Heights hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagi mereka yang mengalami kerosakan ringan, bantuan sebanyak RM2,500 akan disalurkan.