Menyampaikan pandangan ikhlasnya Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Ibrahim Ali berkata kesombongan pemimpin PN menjadi punca kekalahan calon parti itu pada PRK DUN Ayer Kuning, semalam.
Menurutnya, ia melibatkan kegagalan pemimpin PN mendapatkan maklum balas dari segi strategi dan isu daripada pemegang taruh.
“Kesombongan pemimpin-pemimpin PN untuk mendapat maklum balas dari segi strategi dan isu dari pihak-pihak pemegang taruh langsung tidak diberi perhatian dan sombong.
“Kalau terus begini selesalah PH dan BN khususnya Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) menghadapi PRU ke-16. Hiduplah PN dengan mimpi di siang hari,” katanya pada kenyataan media, hari ini.
Ibrahim yang juga dikenali sebagai Tok Him memberi analisis punca kekalahan PN pada PRK berkenaan.
Katanya, PN terlalu ghairah dengan mainkan sentimen ‘UmDap’ untuk timbulkan kebencian orang Melayu kerana Umno bersekongkol dengan DAP dan ditambah pula dengan isu ladang babi.
“Namun isu UmDap dan babi jadi isu utama, strategi bodoh dan bangang.
“Permainan politik sentimen sahaja sudah ketingalan zaman kerana anak muda generasi sekarang dan zaman AI (kecerdasan buatan),” kata Ibrahim.
“Isu ini BN untung percuma kerana PN secara tidak disedari membantu pengundi Cina benci PN, manakala undi Melayu Umno akar umbi kekal tidak berubah walaupun berbagai isu yang Umno hadapi.
“Jika lari pun sekitar 20 hingga 30 peratus ini disebabkan cengkaman mainan politik wang dan peranan agensi-agensi kerajaan yang orang Melayu B40 termasuk ibu tunggal, orang tua miskin yang tidak boleh berpisah dengan parti politik yang menguasai kerajaan ketika PRK diadakan,” dakwanya.
Semalam wakil BN Mohamad Yusri menang kerusi negeri itu dengan majoriti 5,006 undi selepas memperoleh 11,065 undi, menewaskan Abd Muhaimin Malek dari PN yang mendapat 6,059 undi dan Bawani KS dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang meraih 1,106 undi.
PN sekadar mengatasi pencabarnya BN dan PSM hanya di pusat daerah mengundi (PDM) di Kampung Tanjong Keramat.
Malah, calon kuasa ketiga PSM berjaya mengatasi calon PN di tiga PDM iaitu Banir Utara, Kampung Coldstream dan Ayer Kuning Selatan.
Sementara itu, Ibrahim berkata memang sejak dari awal lagi semua pihak menduga gabungan BN-PH akan memenangi kerusi DUN Ayer Kuning berdasarkan keputusan pilihan raya lalu.
Menurut Ibrahim lagi, PN sepatutnya menguna isu kos sara hidup sebagai isu utama dan isu ini memang tulen.
“Harga barang-barang naik, isu beras tempatan hilang dan Kerajaan Madani lebih retorik, pembohong dan gagal tunai janji sejak tertubuhnya kerajaan Perpaduan Madani yang indah khabar dari rupa.
“Jika PN bawa isu ini sebagai isu utama ia juga dilihat membela semua kaum kerana semua kaum terlibat dengan kos sara hidup,” jelas bekas ahli parlimen Pasir Mas itu lagi.