![]() |
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat |
KOTA BHARU: Seorang pegawai polis yang terdetik memeriksa telefon bimbit milik anak perempuannya berusia 14 tahun terkejut menemukan video perlakuan seksual gadis itu bersama lelaki.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat yang turut mengesahkan laporan polis turut dibuat bapa remaja terbabit.
Mengulas lanjut, katanya pegawai polis itu terdetik membuka telefon pintar anaknya selepas pendedahan beliau mengenai peningkatan jenayah seksual di Kelantan.
"Pemeriksaan di dalam telefon menjumpai video perlakuan seksual anak perempuannya bersama seorang remaja lelaki.
"Selepas pendedahan itu (mengenai kes rogol) pada minggu lalu, pegawai polis itu terus membuat semakan dalam telefon anaknya.
"Dia terkejut melihat video hubungan (perlakuan seksual) anak perempuannya dengan seorang lelaki. Pegawai polis itu terus membuat laporan berhubung kejadian itu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Sambutan Aidilfitri Konsortium E-Mutiara Berhad di sini, hari ini yang turut dihadiri Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan.
Mohd Yusoff berkata, pendedahan dibuat beliau memberi kesedaran kepada ramai pihak termasuk ibu bapa, remaja dan masyarakat supaya tampil membuat laporan polis sekiranya mengesan berlaku kejadian rogol atau perlakuan seksual.
"Selepas pendedahan itu, lebih ramai mangsa tampil membuat laporan polis," katanya.