PETALING JAYA: Kanak-kanak autistik, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, meninggal dunia akibat dijerut pada leher, dipercayai menggunakan tali, lanyard, atau kain yang dipintal, dan bukan disebabkan mati lemas.
Dapatan itu diperoleh Pakar Perubatan Perunding Forensik, Dr Rohayu Shahar Adnan yang sebelum ini bertugas di Hospital Sungai Buloh yang melakukan bedah siasat terhadap mayat kanak-kanak itu yang berpakaian seragam sekolah dengan lampin pakai buang berketinggian 119 sentimeter (sm) dan berat badan 17.2 kilogram pada 12 tengah hari, 7 Disember 2023.
Perkara itu dimaklumkan Dr Rohayu yang juga saksi pendakwaan ke-27 itu ketika sesi pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin.
Dr Rohayu, 54, yang kini bertugas di bahagian sama di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pasir Gudang, Johor memberi keterangan pada hari ke-15 prosiding perbicaraan pertuduhan pengabaian dihadapi Zaim Ikhwan Zahari, 30, dan Ismanira Abdul Manaf, 30, di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Dr Syahliza Warnoh.
Zayn Rayyan maut akibat dijerut di leher, dipercayai menggunakan tali, lanyard, atau kain yang dipintal, bukan mati lemas.
Bedah siasat oleh Dr. Rohayu Shahar Adnan mengesahkan sebab kematian sebagai “ligature strangulation” (jerut), dengan kesan jerutan melintang di leher.
Mayat Zayn Rayyan menunjukkan kesan trauma tumpul dan tajam, namun ini tidak menyebabkan kematian. Tiada luka pertahanan pada mangsa.
Kecederaan pada Zayn Rayyan dianggap ‘perimortem’, iaitu berlaku sebelum kematian, dengan kesan sistem pertahanan badan.
Dr Rohayu berkata, kesan jerutan pada leher yang bertindih terletak enam sm di bawah telinga kanan dan kiri, otot leher dan kelenjar tiroid di bawah kesan jerutan ini turut lebam.
“Kesan jerutan ini boleh terhasil daripada sebarang objek dibentuk contohnya tali, lanyard atau kain dipintal, malah kedudukan jerutan adalah sama iaitu enam sm di bawah telinga kanan dan kiri maka kesan ini adalah horizontal (melintang).
“Berbeza dengan gantung, kesannya adalah oblique (serong) dan berbeza di telinga kanan kiri si mati, tiada lebam otot leher kerana gantung adalah proses pasif, maknanya sebarang objek dibentuk keliling leher ianya diketatkan oleh berat badan si mati dan tarikan graviti,” katanya.
Katanya, mayat Zayn Rayyan juga menunjukkan kesan trauma tumpul dan tajam.
Menurutnya, kesan trauma tumpul dan tajam itu tidak mematikan tetapi adalah penderaan fizikal ke atas arwah Zayn Rayyan.
“Tiada luka pertahanan atau luka menumbuk dan menendang dilihat pada arwah Zayn Rayyan,” katanya.
Beliau juga berkata, kecederaan Zayn Rayyan adalah kecederaan ‘perimortem’ atau kecederaan baru sejurus sebelum kematian kerana terdapat kesan reaksi sistem pertahanan badan yang dapat dilihat melalui pemeriksaan mikroskopik.
“Kedutan pada kulit tapak tangan dan kaki kesan rendaman air iaitu kulit yang berkedut-kedut atau dinamakan ‘washer woman appearance’ bukannya punca kematian kerana arwah tidak mati lemas di dalam air, malah tiada penyakit serius pada organ dalaman yang ditemui.
“Jerutan di leher yang melebamkan otot leher dan kelenjar tiroid menunjukkan ianya cukup kuat sehingga menyekat kemasukan oksigen untuk ke paru-paru dan otak yang melemaskan arwah mengakibatkan kematian.
“Dengan ini, saya simpulkan sebab kematian sebagai ‘ligature strangulation’ (jerut),” katanya.
Mengikut pertuduhan pindaan, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf yang kedua-duanya berusia 30 tahun itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka Zayn Rayyan Abdul Matin yang berusia enam tahun (ketika kejadian) didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan apartment sama di sini antara 12 tengah hari, 5 Disember dan 9.55 malam pada 6 Disember 2023.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan bersambung esok.