Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Tan Sri ditangkap, hotel, dusun durian, kilang sawit dan syarikat disita


KUALA LUMPUR: Tiga dusun durian seluas 363.02 hektar, hotel, syarikat pemaju dan kilang pemprosesan kelapa sawit dianggarkan bernilai RM3.5 bilion antara aset baru dibeku dan disita kerana disyaki terbabit jenayah pengubahan wang haram berkait skim pelaburan ponzi di sebuah negara jiran dinamakan pelaburan MBI International Group (MBI).

Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga turut menahan lima lelaki termasuk usahawan bergelar Tan Sri dan Datuk Seri yang dipercayai mempunyai kaitan dengan pengasas skim pelaburan MBI itu.


Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman, Datuk Muhammed Hasbullah Ali, berkata tangkapan itu dilakukan menerusi Operasi Northern Star (Op Northern Star) yang dilaksanakan pada 18 hingga 21 lalu di sekitar Lembah Klang dan utara tanah air.

Beliau berkata, siasatan mendapati Tan Sri dan Datuk Seri terbabit adalah proksi dan rakan kongsi kepada sindiket ini.

Katanya, dusun durian itu mempunyai geran sah, namun menggunakan wang haram untuk pelaburan dan siasatan masih diteruskan dengan beberapa siri operasi lain akan diadakan, selain tidak menolak ada tangkapan baharu selepas ini.

"Semua lelaki yang ditahan berusia 35 hingga 67 tahun itu kini direman lima hingga enam hari bagi membantu siasatan.

"Tindakan pembekuan dan penyitaan sudah dilaksanakan terhadap harta dan aset membabitkan dusun durian dianggarkan bernilai RM223,624,167.75 di tiga lokasi iaitu di Raub, Pahang berkeluasan 344 hektar; di Jawi, Pulau Pinang berkeluasan 5.26 hektar dan di Tasek, Kedah berkeluasan 13.76 hektar," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Muhammed Hasbullah berkata, sebanyak 299 akaun bank bernilai RM123,614,594.35, 12 kenderaan mewah, seutas jam tangan mewah, wang tunai Ringgit Malaysia, lima unit telefon bimbit, satu unit komputer dan pelbagai dokumen penting dipercayai hasil perolehan haram berkaitan penipuan pelaburan turut dibeku dan disita.

"Jumlah keseluruhan pembekuan dan penyitaan dianggarkan sebanyak RM3,513,304,957.84 dan turut melaksanakan tindakan penyitaan ke atas tiga perniagaan mengikut Seksyen 52 (Akta 613).

"Perniagaan yang disita termasuk sebuah kilang memproses kelapa sawit di Selama, Kedah, sebuah hotel dan sebuah syarikat pemaju masing-masing di Pulau Pinang," katanya.

Muhammed Hasbullah berkata, siasatan dan maklumat diperoleh daripada notis merah Polis Antarabangsa (Interpol) mendapati seramai 11 juta mangsa dari negara jiran terbabit dalam skim pelaburan ini sejak lapan tahun lalu, tetapi hanya enam laporan polis diterima di negara ini.

Beliau berkata, skim pelaburan ini tidak mempunyai unsur gengsterisme sebaliknya memfokus kepada perniagaan.

"Polis akan meneruskan siasatan dan tangkapan ke atas mana-mana individu dan entiti dipercayai membabitkan diri secara langsung atau tidak langsung daripada perolehan haram kegiatan aktiviti penipuan pelaburan terbabit.

"Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan aset dan hasil perolehan haram atas kes penipuan pelaburan MBI disaran memberi maklumat kerjasama kepada polis.

"Orang ramai juga diingatkan sentiasa berwaspada dan menjauhkan diri daripada sebarang aktiviti mencurigakan dan pada masa sama, dapat memberi kerjasama menyalurkan maklumat mengenai jenayah pengubahan wang haram," katanya. 
-BH online