Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Tun M dijangka buka kapsul masa di Menara Kuala Lumpur


SHAH ALAM – Selepas hampir tiga dekad tersimpan rapi, kapsul masa ditanam di Menara Kuala Lumpur pada 1996 bakal dibuka secara rasmi oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sempena sambutan Aidilfitri pada Ahad ini.

Majlis bertemakan ‘Raikan Raya Bersama Tun Dr Mahathir Mohamad’ anjuran Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) dijangka menjadi detik bersejarah bukan sahaja kerana sambutan Aidilfitri, malah pembukaan kapsul masa yang menyimpan mesej dan dokumen penting ketika tokoh negarawan itu menjadi Perdana Menteri keempat negara.


Pengarah Urusan MKLSB, Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh, berkata majlis tersebut dibiayai sepenuhnya pihak pengurusan sebagai tanda penghargaan kepada seluruh warga kerja MKLSB atas jasa Dr Mahathir yang mencetuskan idea pembinaan menara ikonik negara itu.

“Kapsul masa tersebut ditanam pada 1 Oktober 1996 bersempena perasmian Menara Kuala Lumpur dan sepatutnya dibuka pada 2020.

“Namun, disebabkan pelbagai faktor termasuk pandemik Covid-19, pembukaan kapsul terpaksa ditangguhkan.

“Kunci kepada kapsul berkenaan dijaga dengan penuh amanah oleh Ketua Pegawai Operasi MKLSB, Affandi Abdullah, selama lebih 28 tahun, satu simbol dedikasi terhadap pemeliharaan warisan negara,” katanya ketika sidang akhbar di Menara Kuala Lumpur pada Khamis.

Menurut Abdul Hamid, pihak pengurusan MKLSB sudah bertemu Dr Mahathir untuk menyerahkan semula kunci kapsul masa tersebut pada 4 April lalu.

“Susulan pertemuan itu, Dr Mahathir menyatakan hasrat hadir sendiri dan bersetuju membuka kapsul masa sempena sambutan Aidilfitri,” tambahnya.

Pembukaan kapsul masa di Menara Kuala Lumpur bukan sahaja membangkitkan nostalgia era Wawasan 2020, malah menghubungkan semula generasi kini -Sinar dengan sejarah pembangunan negara pesat dan progresif.

MKLSB memaklumkan majlis tersebut terbuka kepada orang awam khususnya bekas warga kerja syarikat dan mengajak rakyat Malaysia hadir menyaksikan detik penuh simbolik itu secara langsung.

Sinar Harian