Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menafikan dakwaan beliau enggan menandatangani dokumen pelepasan sebagai pemegang amanah sebidang tanah milik Umno, sambil menyifatkan tuduhan oleh Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Speaker DUN Johor Puad Zarkashi sebagai fitnah dan tidak berasas.
“Saya terbaca beberapa laporan yang mengatakan bahawa saya enggan tandatangan surat pelepasan tanggungjawab sebagai pemegang amanah sebuah aset kepunyaan Umno.
“Yang tuduh saya ialah Presiden Umno Datuk Ahmad Zahid dan selepas itu disambut pula oleh Speaker DUN Johor Puad Zarkashi,” katanya pada kenyataan hari ini.
Dr Mahathir berkata tindakan itu tidak masuk akal dan menimbulkan persoalan tentang tahap pemikiran pimpinan parti itu.
Menurutnya, saman pemula yang difailkan oleh Setiausaha Kerja Umno Mohd Sumali Reduan tidak pun menamakan dirinya sebagai defendan, sebaliknya hanya menamakan Pendaftar Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PTGWP).
Katanya, dia bersama tiga pemegang amanah lain – termasuk Allahyarham Daim Zainuddin, Musa Hitam dan Allahyarham Sanusi Junid – telah menandatangani surat akuan bersetuju dengan pindah milik bertarikh 22 Oktober 2015.
“Jelas tidak timbul saya tidak mahu lepas harta Umno. Saya telah buat akuan bersetuju pada tahun 2015 lagi,” katanya.
Mahathir turut menjelaskan kelulusan pindah milik telah diberi oleh Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan pada 28 Disember 2015, tetapi proses itu terbantut pada Mei 2017.
"Kerana terdapat nama dalam geran hartanah tidak sama seperti dalam kad pengenalan," katanya.
Tegasnya proses itu tidak melibatkan dirinya dan saman yang difailkan Umno ketika ini juga tiada kaitan langsung dengan dirinya.
Umno pada 11 April lalu mengesahkan terdapat seorang individu yang sebelum ini menjadi pemegang amanah parti masih enggan menandatangani dokumen pelepasan walaupun pemegang amanah lain sudah berbuat demikian.
Presidennya, Ahmad Zahid Hamidi, berkata individu yang dilantik sebagai pemegang amanah sepatutnya melepaskan tanggungjawab itu setelah tidak lagi memegang jawatan dalam parti atau kerajaan.
"Ada individu masih enggan berbuat demikian, walaupun tiga pemegang amanah lain menandatangani dokumen pelepasan," katanya.
Sementara itu, Speaker DUN Johor Puad Zarkashi pada 12 April menyoal kenapa Dr Mahathir masih dinamakan sebagai pemegang amanah sebidang tanah milik Umno di Kuala Lumpur, walaupun sudah lama meninggalkan parti itu.
Tanah seluas 9,723 meter persegi itu, antaranya menempatkan ibu pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Puad berkata Mahathir sepatutnya telah melepaskan status pemegang amanah itu sejak kali pertama keluar daripada Umno pada tahun 2008, apatah lagi selepas meninggalkan parti itu sekali lagi pada 2016.
"Dia pemegang amanah. Itu pecah amanah namanya kalau tidak mahu tandatangan dokumen pulangkan harta.
"Sepatutnya 2008 lagi dia pulangkan harta tersebut," dakwanya pada hantaran di media sosial.
Puad turut menyelar Mahathir kerana sering menuduh pihak lain, sedangkan isu pemilikan harta parti tidak wajar dipolitikkan.
"Apakah dia tidak rasa malu? Tuduh orang lain berbagai. Itu bukan harta persendirian," tegasnya.
‘Fitnah berulang, tak layak jadi pemimpin’
Dalam pada itu, Mahathir juga menyifatkan kenyataan Zahid dan Puad sebagai satu bentuk fitnah berulang, sambil mengingatkan dia sudah memfailkan saman fitnah terhadap Zahid sebelum ini.
“Tak malukah berbohong dan fitnah tak berhenti-henti?
“Tapi kalau fitnah ini kerana tidak faham, mungkin ahli Umno perlu fikir semula sama ada kaki bohong layak terus jadi presiden ataupun speaker DUN Johor,” sindirnya.
Pada 6 Mac lalu, Umno memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mendapatkan pengisytiharan supaya tanah berkeluasan 9,723 meter persegi di Kuala Lumpur dipindah milik kepada parti itu.
Umno memfailkan saman pemula bagi memohon satu perintah bahawa pemilik geran 78154, Lot 40 Seksyen 51, Bandar Kuala Lumpur yang didaftarkan atas nama empat tokoh dipindahkan kepada parti.
Saman difailkan Setiausaha Kerja Umno, Mohd Sumali Reduan, selaku plaintif menerusi firma guaman Hafarizam Wan & Aisha Mubarak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pada 6 Mac lalu.
Mereka menamakan Pendaftar Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan sebagai defendan.
Peguam Nor Hazira Abu Haiyan yang mewakili Umno dilaporkan berkata, pada pengurusan kes di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Nur Shasha Hidayah Nor Azahar, mahkamah menetapkan 2 Mei untuk pengurusan kes selanjutnya.
Permohonan itu dibuat mengikut Fasal 27.1 Perlembagaan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu dan Seksyen 9 Akta Pertubuhan 1966.
Empat individu yang menjadi pemegang amanah bagi tanah berkenaan ialah Allahyarham Daim Zainuddin, Musa Hitam, Dr Mahathir Mohamad dan Allahyarham Sanusi Junid.