Dalam satu kenyataan, UiTM menjelaskan tugasan berkenaan bertujuan menggalakkan pemikiran kritikal dan kesedaran pelajar terhadap isu-isu hak asasi manusia di peringkat antarabangsa.
"Dalam sesi tersebut, pelajar telah memilih untuk membentangkan isu berkaitan diskriminasi kaum dan kebencian berasaskan warna kulit, yang merupakan antara pelanggaran hak asasi manusia yang pernah berlaku di beberapa negara.
"Kostum serta elemen visual yang digunakan bertujuan membantu meningkatkan kefahaman dan penghayatan terhadap topik yang dibentangkan, serta memberi gambaran lebih menyeluruh dari perspektif sejarah dan global.
“Pendekatan visual yang digunakan adalah sebahagian daripada kaedah pedagogi bagi menyokong penyampaian berimpak tinggi dalam kelas, selaras dengan objektif kursus yang mendorong pemikiran analitik serta kesedaran sivik dalam kalangan pelajar,” menurut kenyataan itu.
KKK ialah kumpulan ketuanan kulit putih yang terkenal dengan sikap pelampau mereka termasuk melakukan serangan dan pembunuhan kejam terhadap kaum lain di Amerika Syarikat.
Ditubuhkan pada 1865, KKK pada asalnya bertujuan menentang pembebasan hamba kulit hitam selepas perang saudara Amerika dan mengekalkan dominasi orang kulit putih di Selatan Amerika.
Aktiviti mereka termasuklah pembakaran salib dan melakukan perarakan menakutkan dengan memakai jubah putih serta penutup muka (hood) untuk menyembunyikan identiti
Dalam pada itu UiTM menjelaskan fakulti dan pensyarah yang terlibat telah memastikan pembentangan dijalankan secara terkawal dan berlandaskan prinsip akademik, tanpa menyentuh sebarang sensitiviti berkaitan agama, budaya mahupun perkauman.
"Untuk makluman, tiada sebarang elemen penghinaan terhadap mana-mana agama disebut atau dibincangkan sepanjang sesi tersebut berlangsung.
“Kami berharap penjelasan ini dapat memperjelaskan keadaan sebenar dan menamatkan salah tafsir terhadap tugasan yang dijalankan. UiTM akan terus memperkasakan pengalaman pembelajaran pelajar secara holistik dan menyeluruh,” menurut kenyataan itu lagi.
UiTM turut menyeru semua pihak agar menilai insiden seperti ini dalam kerangka akademik dan tidak menafsirkannya di luar konteks asal, selaras dengan semangat pendidikan inklusif dan dinamik yang menjadi tunjang pengajian tinggi negara.
Sejak semalam, klip video pendek aktiviti tersebut tular di media sosial.
Sesetengah pengguna internet mendakwa pelajar berkenaan mengagungkan kumpulan KKK.
Mereka turut menggesa pihak berkuasa dan UiTM mengambil tindakan tegas terhadap para pelajar terbabit.