Seorang pegawai penyiasat memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa Muhammed Yusoff Rawther mempunyai kawalan, milikan dan pengetahuan terhadap dua pucuk pistol tiruan yang ditemui dalam keretanya semasa serbuan polis, tahun lepas
Inspektor Aiman Mohd Suhaimi, 32, dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields berkata dalam serbuan pada pukul 9.25 pagi, 6 Sept 2024, hanya tertuduh dilihat menghampiri kereta jenis Nissan Teana berwarna biru gelap di tepi jalan sebuah kondominium di Bukit Kiara di sini sebelum ditahan.
“Dua pucuk pistol tiruan ditemui di bawah kerusi penumpang hadapan. Hasil semakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapati kenderaan itu berdaftar atas nama tertuduh dan tidak boleh diakses oleh orang awam,” katanya ketika membacakan pernyataan saksi dalam perbicaraan kes Muhammed Yusoff yang berdepan pertuduhan mengedar dadah dan memiliki senjata tiruan.
Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sabri Othman, saksi pendakwaan ke-12 itu berkata tertuduh, yang juga bekas pembantu penyelidik kepada ahli politik, mengaku menerima kereta itu daripada ibu saudaranya bersama dua kunci.
“Namun, satu daripada kunci itu hilang semasa tertuduh berpindah ke kediaman baru di Senada Residence, penghujung Julai lalu. Dia mendakwa kali terakhir menggunakan kereta itu pada malam 5 Sept dan meletakkan kunci di atas meja makan,” katanya.
Bagaimanapun, menurut Aiman, tiada laporan polis dibuat berkaitan kehilangan kunci dan tiada siasatan lanjut dijalankan kerana tiada maklumat jelas diberikan berhubung lokasi kehilangan.
“Tertuduh turut memaklumkan hanya dia yang menggunakan kenderaan berkenaan manakala teman wanitanya, yang tinggal bersamanya, mempunyai kenderaan sendiri,” katanya.
Dia berkata ketika menemu bual ibu saudara tertuduh pada 12 Sept 2024, wanita itu menyedari kerosakan pada pintu kereta berkenaan dua minggu sebelum serbuan.
“Sewaktu disoal siasat, tertuduh mengaku belum sempat membaiki kerosakan alat kawalan jauh dan sistem keselamatan kenderaan itu walaupun mengetahui ia bermasalah sejak dua minggu sebelum kejadian,” katanya.
Menurutnya tertuduh sepatutnya meletakkan kenderaan di dalam kawasan parkir kondominium dan bukan di tepi jalan bagi mengelak kejadian tidak diingini.
Aiman berkata berdasarkan analisis forensik, dua pucuk pistol yang dirampas bukan senjata api sebenar sebaliknya menggunakan gas karbon dioksida (CO2).
“Kedua-dua senjata tidak mempunyai breech block dan trigger mechanism serta tidak boleh melepaskan tembakan. Ujian menembak juga tidak dapat dilakukan kerana tiada peluru jenis pallet atau bearing disediakan,” katanya.
Perbicaraan di hadapan hakim Muhammad Jamil Hussin bersambung petang ini.
Muhammed Yusoff didakwa mengedar 305 gram dadah jenis kanabis di hadapan surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada 6 Sept 2024, mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebat minimum 12 kali, jika sabit kesalahan.
Dia turut didakwa memiliki dua pucuk pistol tiruan di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Bukit Kiara, pada hari sama, mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjar
-Bernama